Tuesday, 25 June 2019

Sambung Cerita

Assalamualaikum.

Bertahun tak menulis disini. Beberapa hari lepas, merajinkan diri mendapatkan semula password email blog ini. Rindu sebenarnya bila terkenangkan zaman-zaman blogging yang hari-hari nak menulis. Hahaha. Menulis ni macam terapi yang kita rasa puas bila dapat meluahkan apa yang kita rasa. Siapa yang membaca atau tak ada orang baca sekalipun kita tak kisah sebenarnya. Pada saya bila kita menulis, ia lebih kepada menasihati dan menenangkan hati sendiri. 

Kalau nak bercerita tentang kisah-kisah sepanjang tempoh rehat menulis ni, pelbagai. Ada perkara yang kita suka, ada cerita yang duka, ada kisah yang menjadikan siapa kita dan sudah pasti tiada manusia yang mahu jadi lebih baik dari sebelumnya. 

Beberapa tahun ini juga, saya bersyukur dengan pelbagai peluang yang datang. Peluang berkongsi ilmu dan pengalaman. Peluang untuk belajar dan menambah pengetahuan. Peluang bertemu insan-insan hebat yang memandu saya disepanjang perjalanan. Hakikatnya kita hanya insan, lemah yang pelbagai dan sentiasa memerlukan bantuan dalam setiap yang kita kerjakan. Alhamdulillah. Allah Yang Maha Baik. 

Saya kembali untuk menulis dan berkongsi. Mungkin membawa cerita-cerita tentang perjuangan dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak. Sudah pasti bukan tentang perjuangan saya sendiri. Ia lebih kepada perkongsian yang mungkin memanfaatkan sesiapa juga yang singgah disini. 

Ini satu permulaan.
Muqaddimah untuk kepelbagaian cerita akan datang, InshaAllah.
Doakan saya dan kita semua. 

25 Jun 2019 | Selasa | 12:02PM


Tuesday, 9 June 2015

T U L I S

Assalamualaikum. 

09.06.2015.

Alhamdulillah.
Lama sungguh tak singgah menulis disini.
Seiring usia yang berkurang, kehidupan yang dilalui juga pelbagai, membuatkan ruang-ruang waktu untuk menulis panjang terbatas.
Tapi, masih banyak ruang sosial lain yang tercipta yang boleh kita kongsikan atau jadikan sebagai medium bermuhasabah semula.

Ada sesetengah orang gemar melabelkan mereka yang terlalu aktif berkongsi tentang diri mereka di laman sosial sebagai orang yang ingin meraih simpati dan sebagainya. Saya melihat keadaan itu dari sudut yang berbeza. Jika niat kita jujur, mahu berkongsi kebaikan melalui gambar dan kata-kata, mahu bermuhasabah dan memberi ingat kepada diri kita dan disamping menyampaikan apa jua ilmu yang ada, yang mungkin menaikkan semangat sesiapa sahaja untuk berubah kepada kebaikan ia tetap satu kebaikan yang tinggi. Raikanlah kepelbagaian yang baik selagi ia tidak melanggar batasan yang wajar. 

01.06.2015| Early Childhood Studies Dissertation


Kegagalan.
Tiada insan yang mahu menempuh kegagalan terhadap apa yang telah di usahakan.
Namun, kegagalan adalah hadiah yang cukup istimewa daripada Tuhan.
Dengannya kita:
Mengenal diri dan bermuhasabah.
Mengenal insan-insan yang ikhlas.
Mengenal insan-insan yang ada utk suka bersama.
Mengenal insan-insan yang hampir kita lupakan.
Mengenal erti perjalanan sebuah kehidupan.

Dan yang lebih besar dari itu adalah kita mengenal tentang kebaikan serta nikmat Tuhan.
Bersabarlah,
Jika kita masih jujur mencuba,
ikhlas untuk bangun semula,
Tuhan tak akan pernah sia-siakan usaha.
Kelak sampai masanya,
Mereka akan faham kenapa.
Seperti juga kita sebelumnya.


Jujur, untuk tempoh dua tahun menghabiskan pengajian, saya berhadapan situasi yang sukar. Ia sebenarnya tidak lah mudah untuk menasihati diri bahawa ujian itu indah. Sebagai hamba, adakala kita tercicir jua. Moga Allah ampunkan kita. 

Namun,
Sabarlah. Berusahalah. Berdoalah.
Allah tidak pernah meninggalkan kita sendiri dan Allah jua tidak menguji melebihi apa yang kita mampu.

Alhamdulillah,
Saya sudah selesaikan tugasan penting sebagai seorang pelajar.
Ada beberapa waktu lagi perlu dihabiskan untuk kembali semula menghadapi cabaran diluar.
Ada banyak hutang yang masih tertangguh yang saya masih mahu langsaikan segera.
Percayalah.
Jika kita bercerita masalah dengan manusia, mereka mungkin membantu kita semampunya, atau juga mereka pergi meninggalkan kita sehingga tiba waktu kita bangun semula.
Tapi, jika kita bercerita pada Allah,tentang waktu-waktu yang kita tidak mampu, tentang hajat-hajat kita serta niat yang jujur, Allah sesekali tidak akan membiarkan kita tanpa memberikan kita jalan keluar. 
InshaAllah.

#TeamEarlyChildhoodStudies

Berdamailah dengan sesiapa sahaja,
sekalipun mereka pernah mengherdik usaha kita.
Kelak, mereka akan faham.

Moga Allah mudahkan urusan kita.

Sunday, 2 November 2014

Bilangan Hari-Harimu..

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, 9 Muharam 1436H hari ini. Antara hari-hari yang baik yang pernah di sabdakan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. 9 &10 Muharam adalah hari-hari yang di anjurkan untuk berpuasa disiangnya dan amat besar ganjaran pahalanya. Moga Allah permudahkan langkah serta menjadikan sabar serta redha itu sentiasa teristiqamah dalam jiwa inshaAllah.

Alhamdulillah,
November juga telah masuk hari ke 2 hari ini. Moga-moga peralihan usia baru kelak akan memungkinkan fasa-fasa kematangan yang lebih baik inshaAllah.

Hidup & Kehilangan:
Kita melalui hidup dengan banyaknya kehilangan.
Hilang waktu yang tidak mungkin kembali. Hilang orang-orang yang kita kasihi. Hilang harta yang dicari. Hilang teman yang berada disisi.
Sampai satu ketika nanti kita juga akan hilang dari dunia yang sementara ini.
Bersabarlah dengan kehilangan. Ia hanya didikan istimewa dari Tuhan!
Faghfirlana Ya Allah..

Saya menulis itu pada hari-hari akhir Oktober yang lalu. Ia tidak lebih sekadar memotivasikan diri, memberi ingat tentang hilangnya perkara,benda,kasih dan apa sahaja yang kita pernah,sedang atau akan miliki di dunia hanya bersifat sementara. Ya ia benar hari-hari yang amat berat bagi saya untuk melaluinya dalam tempoh hampir setahun lalu. Berkali-kali jatuh dan pernah ada waktu saya tidak mahu lagi bangun. Namun, mana mungkin Allah memberi didikan tanpa kita kelak akan lulus dalam setiap didikanNya. Hanya waktu yang perlu kita tunggu dan bersama merungkai hikmah disebaliknya.

Kita akan melalui fasa-fasa ini. Cuma caranya berbeza. Saya sendiri tidak terlepas. Ia mungkin ingat-ingatan tentang kelalaian kita, tentang diri kita pada masa lalu dan tentang sikap kita yang sepatutnya tidak begitu. Disudut yang positif, lihatlah ia sebagai proses reformasi diri. Menjadi lebih baik dari apa yang telah kita perlakukan sebelumnya. Nah, hikmahNya Dia memilih kita untuk terus memperbaiki dan berubah! Alhamdulillah.

Waktu-waktu ini juga untuk kita kembali mendefinisikan beberapa istilah yang pernah kita bawa. Kawan antaranya. Kita mungkin hilang ramai teman yang pernah ada tapi percayalah yang berganti itu adakalanya lebih baik untuk kita lihat dan hargai. Namun, jangan sesekali menyalahkan sesiapa. Ia hanya proses untuk kita lebih bersedia dan menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Ya, sungguh perkara-perkara ini mengajar saya melihat sesuatu dengan fikiran yang lebih terbuka. Akhirnya kita hanya punya Dia. 

Maafkan saya atas ringkasan rasa yang saya titipkan. Ia sekadar perkongsian untuk saya sendiri manfaatkan dan ingatkan. Mungkin,untuk tempoh 10 tahun akan datang jika Allah izinkan, saya masih boleh membaca tentang tulisan-tulisan ini dan mengingati dengan baik pesan-pesan ini.

Buang jauh apa jua andaian manusia terhadap kita, mereka terlalu ramai untuk kita tepis dan berhujah dengan damai, luahkan segalanya pada Tuhan, Dia Maha Mendengar, Mengetahui setiap isi jiwa kita dan Dia jua lah kelak yang akan memberi kita jalan keluar. 

Faghfirlana Ya Allah.

Monday, 29 September 2014

Sukar & Senang

Assalamualaikum,

Lama tak menulis disini. Berkali-kali cuba tapi hanya berakhir dengan padam semula. Hakikatnya kita masih mahu menyimpan dan memendam beberapa perkara dan tidak berkongsi semua perkara. Namun, disudut yang lain kita masih perlu meluahkan agar ia terbuang dari benak minda dan fizikal kita. Sesetengah katan "jeritan ketenangan". Catatan ini juga mungkin begitu. 

Hakikat Hidup

Kita bermula tanpa mengenal satu pun tentang hakikat sebenar kehidupan. Ibu ayah mencorakkan dengan baik seawal usia dan kita meniti dewasa dengan liku-liku didikan yang Allah anugerahkan yang terkadang kita leka dan alpa tentang hadirnya. Hakikatnya hidup ini masih satu kembara dan kita hanyalah pengembara yang melalui jalan-jalan yang terkadang betul dan mungkin kebanyakannya salah dan mungkin tersesat. Kata orang; 'Malu bertanya sesat jalan', benar sekali perumpamaan itu.. Kita mungkin berkali-kali melalui jalan yang salah tapi melalui kesalahan itu kita temui sebenar-benar arah. Jangan mengalah dan berdu'alah. InshaAllah.

"..Renungi keadaan hatimu,kiblatkan ia kepada kebenaran. Pelihara kejernihannya, kekalkan ia dalam ketenteraman. Dengan yang demikian itu, engkau tidak akan terpesong, menjauhi dirimu yang hakiki.." 
(Imam Birgivi,1573)

Kesukaran dalam kesenangan

"Pergilah pada hambaku lalu timpakanlah berbagai ujian padanya kerana Aku ingin mendengar rintihannya."
[Hadis Riwayat Thabrani dari Abu Umamah - Hadis Qudsi]

Insan dan ujian bagai aur dengan tebingnya.. Bagai ombak yang bersahabat dengan pantai.. Hidup kita akan terus di uji.. Ujian itu adalah anugerah terindah yang Allah anugerahkan pada kita. Melalui masa-masa sukar ini mendidik kita tentang banyak perkara. Mendidik kita untuk kembali bermuhasabah tentang maaf dan keampuanan. Tentang kembalinya jiwa mencari keampunan Rabb nya. Berkali-kali kita diuji tapi percayalah sebanyak itulah selagi mana kita sabar, Allah akan memberi hikmah yang banyak selepasnya. Bagai pelangi yang muncul selepas hujan, bagai mentari yang menyinar kembali dan bagai bulan yang muncul dibalik awan dan menerangi gelap malam.

Namun, disudut yang berbeza, jiwa insan tetap lemah menghadapi setiap ujian. Berdu'alah!

Kesimpulannya?

Melalui ini teramat sukar. Saya menulis nasihat-nasihat itu mendahului diri saya sendiri. Melalui saat ini amat sukar. Saya bagai hilang arah dan buntu mencari jalan keluarnya. Terkadang saya mencari dan mengakui " Duhai Rabb, kenapa begini dan kenapa begitu?" Allahurabbi! Ampunkan diri yang serba lemah ini. Tiada daya upaya melainkan segalanya milikMu Ya Rabb.

Allah menganugerahkan kita nikmat yang banyak sekali, tidak terkira dan tertulis dek tinta, dan demikian juga bila Allah berkehendakkannya semula. Andai ia diambil semula, sudah tentu Allah sedang merencanakan sesuatu yang lebih baik untuk kita. Allahu.


'Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar..'
Al-baqarah:155

Penawarnya kembali pada Allah. Redha, Sabar, Usaha dan Du'a. Disini sudut lain juga teruji. Kita mungkin hilang percaya daripada teman-teman yang ada dan kita juga mungkin ditinggal bersendirian tanpa ada khabar ditanya. Tapi percayalah, Allah gantikan dengan mereka-mereka yang lebih baik kerana Allah tahu kita mampu melaluinya. 

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".
(Al-Baqarah: 286)

Di kesempatan ini, saya mohon maaf kepada semua yang mungkin terasa dan sebagainya. Mohon du'akan segala kebaikan dan dipermudahkan segala urusan kita semua inshaAllah. 

29.09.2014 | 10:41
Gombak

Thursday, 9 January 2014

Ingat-ingatan

Assalamualaikum,

2014, Alhamdulillah. Selamat tahun baharu masihi. Belum terlewat rasanya untuk ucapan tersebut. Moga hari-hari berlalu indah. Berdu'a sentiasa moga dalam susah atau senang, suka atau sedih kita sentiasa redha & berterima kasih atas apa jua yang Allah anugerahkan. Ia adalah didikan kehidupan kita didunia.



Alhamdulillah, ini catatan pertama saya untuk tahun 2014. Agak jarang saya berkongsi sepanjang tahun 2013 yang lalu. Saya selalu terfikir, apakah tulisan-tulisan saya ini tulisan yang bermanfaat. Walau tidak pada teman-teman yang singgah,adakah ia bermanfaat pada diri saya sendiri. Beberapa ketika yang lapang,saya selalu baca semula apa yang saya tulis, tersenyum sendiri lantas hati mula menafsir, 'argh itulah masa-masa belum dewasa mungkin".

Memikirkan tentang silap-silap kita yang lampau,tentang kesedaran yang Allah hadirkan, betapa Allah sesekali tidak pernah meninggalkan kita sendirian. Allah temukan kita jalan, Allah hadirkan penyelesaian tentang perkara-perkara yang dulu kita tanya kenapa begini dan kenapa tidak begitu atau kalau lah dan lain-lain persoalan kita. 



Dalam perjalanan kita juga, kita akan kehilangan insan-insan yang ada bersama kita. Mereka mungkin kembali ke sisi Rabb Yang Esa atau mereka meninggalkan kita untuk meneruskan perjalanan mereka didunia. Ia juga anugerah yang kita jarang sedar atau mungkin lambat sedar. Akhirnya lepas beberapa ketika, kita akan memahami betapa Allah mahu mendidik kita, memberi kita yang terbaik. Allahuallah. Berbaik sangka sentiasa dengan Allah,kerana Allah sesekali tidak pernah jauh dengan kita sedang kita yang selalu menjauh. Astaghfirullah.

Oh kenapa saya catatkan begitu, ia hanya untuk ingatan-ingatan saya yang selalu lupa. Jam sudah 2.30pagi, saya baru siapkan draft pertama untuk kelas esok. Oh ya,saya bergelar pelajar semula! Meneruskan cita-cita yang tertangguh lama & atas sebab ini juga lah huraian panjang di atas. Maaf. :)



Moga-moga Allah izinkan kita memberikan sesuatu yang bermanfaat. Walaupun tidak untuk sesiapa tapi ia bermanfaat untuk mendidik jiwa kita sendiri. Sekali lagi, maaf. 

Rasulullah S.A.W bersabda :

“Ada apa aku dan dunia ini! Tiadalah dunia dan aku ini melainkan seperti seorang pengembara yang berlindung dari panas di bawah sepohon pokok, kemudian pergi meninggalkannya”. (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).


Sampai jumpa lagi! InshaAllah.

| Shah Alam | 2:33pagi | Amir Rayyan


Tuesday, 24 December 2013

Cerita 2013

Assalamualaikum,

Alhamdulillah thumma alhamdulillah... meniti hari-hari terakhir 2013.Dalam sedar atau tidak kita sebenarnya sedang menghampiri hari-hari akhir kita sebagai seorang pengembara didunia. Allahuakbar! Moga Allah sentiasa redha dengan kita dan hari-hari yang berlalu adalah didikan terbaik buat bekalan kita kelak. InshaAllah.

2013, agak kurang catatan saya singgah di laman ini, dan catatan ini juga mungkin ringkas sahaja. Menyorot kembali perjalanan sepanjang 2013, ia adalah tahun yang penuh dengan didikan istimewa. Alhamdulillah. Ceritanya pelbagai dan menjadikan kita mungkin lebih faham tentang apa itu kedewasaan & kehidupan. Hidup ini bukanlah untuk diraikan dengan gelak tawa sentiasa tapi tangisan itu lah sebenarnya kegembiraan yang perlu ada disetiap jiwa. Kita selalu inginkan segala kesenangan terhidang didepan mata tapi kita lupa untuk mensyukuri nikmat yang telah Allah ganjarkan setiap detik masa. Astaghfirullah, ingatan ini mendahului diri saya sendiri.

Saya ringkaskan catatan, sekadar berkongsi beberapa kenangan sepanjang 2013 & biarlah gambar isi ceritanya. :)



1. Saya mulakan 01.01.13 dengan satu rehat yang singkat di Grand Lexis PD.



2. #gather1102 adalah aktiviti tahunan yang masuk tahun ke 5. Alhamdulillah, moga Allah rahmati ukhuwah ini inshaAllah.



3. Kembara Haramain, 30Mac - 9 April . Ia satu perjalanan yang terindah dalam hidup. Allahuallah..Rindu sungguh! :(





4. Pilihanraya Umum ke 13, 05.05.13, ini adalah PRU pertama saya dan Alhamdulillah,moga Allah redha dengan pilihan yang dibuat. InshaAllah..



5. 29 Jun - 3 Julai, Bali Indonesia. Ini adalah percutian yang tak dirancang. Alhamdulillah, ia pengalaman yang indah.



6. September: Kembali meneruskan cita-cita yang tertangguh. ( Tapi atas sebab tertentu,saya hanya memulakan semester pada December,beberapa minggu sudah.)



7. 22 - 30 Oktober 2013, Kembara #CintaKonstantinopel .






8. November: Bulan kelahiran saya dan saya melaluinya dengan fasa peningkatan usia yang cukup mencabar. Maaf, tiada gambar atau sebarang sambutan untuk hari serta bulan ini. Ia indah! Didikan kedewasan yang ajar saya kenal dan belajar banyak perkara. Alhamdulillah.

9.December: Masuk kelas! Dan ini kenangan belajar bersama dua orang guru. Keduanya telah selamat pulang ke UK. :)




10. Balik kampung! Alhamdulillah akhirnya,kita hanya perlu kembali ke tempat kita bermula dan disitu kita kenal jati diri kita. Saya hanya seorang anak kampung dan saya cukup bangga! Alhamdulillah.



10 sorotan cerita indah sepanjang 2013. Moga Allah redha untuk perjalanan yang telah dilalui dan akan dilalui. Moga dipermudahkan segala urusan & diberi keampunan buat kita semua. InshaAllah.

Salam Mahabbah




Monday, 19 August 2013

Kembali Bertandang

6:00ptg | 19 Ogos 2013

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, waktu mula menulis semula seperti yang tercatat di atas. Beberapa kali dalam tempoh beberapa bulan yang sudah, saya singgah di laman ini & cuba untuk berkongsi. Hasilnya hanya ucapan salam pembukaan yang saya siapkan.

Tempoh senyap yang paling lama saya kira, melalui beberapa fasa dalam perjalanan sementara ini. Alhamdulillah,beberapa harapan & impian juga ada yang telah terlaksana. Alhamdulillah thumma alhamdulillah.



Saya tidak mahu bercerita panjang, Saya tulis sebab saya pasti akan baca semula & ia jadi ingatan buat saya yang selalu lupa.

Bertenang & mengenang...
Tentang sakit & perit...
Tentang suka & gembira...
Noktah.
Sampai sini saja....
Bila lagi?
Mungkin esok hari...
Atau mungkin tidak kembali...
Kita bukan peramal hari esok...
Tapi kita berusaha untuk hari ini...
Moga kita bukan antara mereka yang rugi..
Menjadi antara yang tahu menghargai....
Dan kita bukan seoarang yang lupa diri...
InshaAllah...
Allah pasti permudahkan & merahmati...

Amir Rayyan | 19 Ogos 2013


Terima kasih buat kalian yang singgah, hadir untuk sama menasihati, rahmat Allah buat kita & semua inshaAllah. Du'akan ummah!

Allahumma nsuril Islam wal Muslimin wal Mujahidin wal Mustadh'afin fi kulli makaan....

Allahumma amiin...


Sampai bertemu kembali! InshaAllah...

Salam Mahabbah

Tuesday, 26 February 2013

Pilihan!


Assalamualaikum teman-teman,

Alhamdulillah, sudah di minggu terakhir Februari. Setiap hari yang kita lalui sebelum serta selepasnya adalah tentang pilihan yang kita pilih untuk ia terjadi. Hidup tentang pilihan dan pilihan itu menentukan arah hidup. Setuju? Berbeza pandangan itu sesuatu yang kita wajar terima dengan terbuka.

Pilihan. Kita selalu sahaja berhadapan dengan satu kesukaran bila perlu memilih. Saya selalu begitu. Kita selalu mahukan apa juga pilihan yang terbaik Tapi terkadang kita tersalah memilih. Lantas kesalahan itu sebenarnya bukan satu kesilapan yang berpanjangan. Jadikan ia satu kesilapan yang mendidik kita untuk jadi lebih baik inshaAllah.



Allah berfirman yang bermaksud: 


"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu. Boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu."
- Surah Al-Baqarah : 216


Disebalik setiap pilihan yang Allah hadirkan buat kita, ia sebenarnya adalah proses pendidikan kearah yang lebih baik. Jangan cepat berputus asa dan menyerah. Terus berusaha & ia tak kan pernah jadi sia-sia.

Pasti tertanya kenapa saya coretkan tentang ini. Atas sebab-sebab sendiri & sekadar berkongsi. Pilihan selalu ada buat kita. Apa juga pilihan kita, yakinlah serta mohon lah petunjuk dengan du'a yang tak pernah putus, moga Allah permudahkan setiap pilihan kita. Sukar itu indah, pahit itu penawar & jiwa yang gundah itu bukan lemah tapi perlu sedikit muhasabah. Jangan pernah rasa diri rendah dengan pilihan yang salah, tapi berusaha tanpa kenal erti lelah kerna kelak akhirnya yang memandang kita adalah Allah. InshaAllah.

Cukup, saya pilih untuk tidak panjangkan kata. Berhenti & biar kalian pilih untuk baca & beri pandangan pula. :)

Moga bertemu lagi inshaAllah.

Salam Mahabbah..

Thursday, 14 February 2013

Friends' Day Out 2013 : #gather1102 #melaka

Assalamualaikum teman-teman...

Alhamdulillah, kembali ke kamar kerja selepas hampir seminggu bercuti. Sungguh padat terisi. Saya kira ia satu keperluan & tanggungjawab pada diri. Rehat.

Cerita saya tentang 11.02.13 yang lepas. Alhamdulillah peluang bertemu mesra bersama teman baru & lama adalah sesuatu yang indah & anugerah. Dan pada usia yang sudah 5, saya kira kami sudah dewasa dalam berukhuwah. (walaupun baru masuk tadika jika dikira usia), Hahaha..Pening dgn bahasa? abaikan saja.

#gather1102 adalah kesinambungan dari program asal hasil cetusan idea Qarl, "Santai Selamba Bloggers".

Ok sudah, menulis panjang berjela dgn bahasa yang terlalu mengikut tatabahasa ni boleh buat korang malas nak baca! hahah.. So biarlah gambar isi cerita.. ;)

Friends' Day Out #gather1102 #melaka

Tukar-tukar hadiah

Lokasi terakhir! Baba&Nyonya

Kami lah Juara! 

Antara yang menarik tentang #gather1102:

1.Wan fuyoo adalah antara penyumbang gelak terbanyak!
2. Games 'Apungan" tu sgt menguji! & sgt best berbanding games "kangkangan"
3. Eim adalah model hebat yang dicungkil bakatnya oleh #gather1102
4. Group kuning adalah juara keseluruhan
5. Banner/Bunting hanya dikeluarkan selepas gambar yang ke 100 di snap.
6. Karipap hanya diketahui kewujudannya oleh diri ini selepas semua tengah kemas2 tp karipap tersebut telah dimakan oleh Eim didalam kereta!
7. Lalan adalah peserta paling tinggi!
8. Lil Aiman adalah peserta termuda!
9. Terperangkap dalam toilet adalah antara cerita
10.Tak sempat nak 'sumbangkan' sebuah lagu sebab masa terlalu cemburu!

Buat semua, selamat meneruskan ukhuwah yang telah terbina. Kalian adalah yang terbaik yang pernah hadir dalam hidup saya! (feeling Dato Siti jap). Jaga diri & jumpa lagi! InshaAllah.

Salam Sayang :)

Thursday, 7 February 2013

Pesan & Ingat


Terkadang kita rasa penat.. Mahu saja berhenti & rehat.. Tapi setiap kita punya matlamat.. Bukan sekadar utk kerja & rehat.. Tapi lebih kepada menghasilkan sesuatu yang tinggalkan manfaat! Pada diri juga buat mereka yg jauh serta dekat. Terus semangat! ;) Moga Allah permudahkan & memberi rahmat.. InshaAllah.. 

Ini yang pertama untuk 2013. Moga kekal baik-baik sahaja semua! InshaAllah..

Assalamualaikum & Moga bertemu lagi nanti! InshaAllah.. :)

Tuesday, 25 December 2012

Malu Sungguh!




Tuhanku..

Lemahnya aku...
Kala diujiMu.. 
Lemahnya aku... 
Saat Kau titipkan pesan yang jadi ingatan buatku.. 

Tuhanku... 

Sedarku akan segala yg berlaku ... 
Kaffarah buatku, muhasabah masa laluku... 


Tuhanku...

Tangisku jarang hadir... 
Malu sungguh aku... 


Tuhanku...

Deras mengalir dari mataku...
Hanya Saat dugaMu...
Malu sungguh aku....


Tuhanku...

Kau pimpin aku saat rebah...
Teman aku saat gundah...
Sungguh aku lemah.. 
Tanpa kasih & rahmat Mu Ya Allah...
Malu sungguh aku..



-Amir Rayyan- 
11:13malam / 24 Disember 2012

Wednesday, 28 November 2012

Dua Puluh Lima

Assalamualaikum teman-teman..

Alhamdulillah sudah 25tahun 5hari hari ini....Dua puluh lima adalah satu usia kematangan. Usia yang memungkinkan kita meninggalkan beberapa fasa remaja yang lalu. Saya kira ramai punya tafsir begitu. Saya juga sama. Alhamdulillah,angka usia meningkat tetapi sedang berkurang. Masa pulang juga semakin dekat.Entah bila hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Moga Allah selalu redha...

Ringkas.

23.11.1987 - 23.11.2012 


Terima kasih Allah atas segala nikmat hingga detik ini....
Terima kasih Mama atas segala pengorbanan selama ini......
Terima kasih Abah atas segala keringat yang tiada berganti.....
Terima kasih adik-adik Along yang teramat disayangi......
Terima kasih sahabat,teman dan kawan serta sesiapa yang mengenali......
Terima kasih buat sesiapa sahaja yang menghargai dan membenci.......

Dua puluh lima bakal dilalui......
Dua puluh empat sudah pergi membawa ceritanya sendiri....

Aku?
Masih mencari....
Belajar dan masih cuba untuk memahami serta mahu mensyukuri.....
Tentang cerita hati dan diri.....
Dan tentang apa jua yg dilalui sebelum ajal menjemput diri......

Angkanya nampak bertambah setahun lagi....
Sebenarnya sedang berkurang dalam maksud tersendiri....
Du'a & harap ia lebih diberkati...

Terima kasih atas du'a yang kalian titip,saya juga du'akan yang sama. Moga rahmat keampunan & kasih sayang Allah sentiasa mengiringi langkah kita. InshaAllah. :)

Salam Mahabbah

Tuesday, 20 November 2012

Monolog Jiwa Al-Quds



Assalamualaikum,


Duduk diam membaca berita-berita tentang derita bumi Al-Quds, tangan dengan sendiri menulis ini. Biasa,tapi ini mungkin tentang apa yg mereka rasa. Saya kongsikan bersama kalian. Allahummansuril Islam Wal Muslimin...Allahumma 'alaika bilyahud...Allahumma ameen..


Monolog Jiwa Al-Quds…..

Saat dentuman bergema….
Saat itu, media dunia bertalu bercerita tentangmu….
Saat itu jugalah laman mukabuku begitu mengambil tahu….
Saat itu jugalah dunia me
nyatakan sendu….

Hingar bingar disetiap detik masa….
Tentang daerahmu yang dibedil peluru setiap ketika…
Tentang boikot dan tentang mengenali siapa mereka….
Tentang kamu yang baru mereka cari sejarahnya & kenapa……

Dia lupa….
Mereka lupa…..
Kami terlupa……
Bahawa sejak bertahun lama…..
Hampir setia hari & detiknya…..
Kau sudah cukup lali dengan bunyinya….
Bedilannya biasa… 
Tangisan juga sudah biasa….
Hilang harta & saudara juga biasa……
Apatah lagi syahid itu sudah biasa……
Tapi mereka????
Ya!
LUPA!

Lupa untuk memandang kenapa…
Lupa untuk berfikir bagaimana….
Lupa bertanya untuk apa….
Lupa untuk bersatu hati & jiwa atas nama saudara…
Barangkali sudah lupa Al-Quds itu dimana…
Barangkali sudah lupa isra’ & Mikraj antara sejarahnya….
Barangkali sudah lupa qiblat pertama!

Adakah untuk seketika lagi kali ini?
Adakah diam semula sehingga berita datang lagi?
Apakah selepas bantuan terhulur sudah cukup hilangkan perit dihati?
Kamu sendiri mengetahui!
Sedang kami mengharungi!

Amir Rayyan
20/11/2012 |2.51PM

Tuesday, 13 November 2012

Muharam Bukan Bulan Hijrah?




Assalamualaikum Semua,

Alhamdulillah, 29 Zulhijjah 1432H hari ini (Hari baharu kalendar Islam bermula selepas Maghrib)1433H akan meninggalkan kita semua kurang 24 jam sahaja lagi. Setahun yang bakal berlalu ini akan meninggalkan kita dengan seribu satu senyum,tangis,silap dan pembetulan serta pelajaran. Yang terdidik adalah jiwa dan diri.

Hakikatnya, Muharam adalah bulan pertama perkiraan tahun hijrah. Dan peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w tidak berlaku pada bulan Muharam tetapi pada akhir bulan safar. Rasulullah s.a.w memasuki Madinah (Yathrib) selepas solat jumaat, 12 Rabiul Awwal.

Menurut para pengkaji Sirah Nabi s.a.w, hijrah berlaku dalam Bulan Rabi’ul Awwal, bukan Bulan Muharram. Ini disebut dalam pelbagai riwayat. Sebuah karya kajian sirah Nabi s.a.w yang mendapat anugerah dan pengiktirafan besar dalam dunia Islam iaitu al-Rahiq al-Makhtum karangan al-Syeikh al-Mubarakfuri telah menyimpulkan bahawa Nabi s.a.w keluar dari rumah baginda ke rumah Abu Bakar al-Siddiq pada malam 28 haribulan Safar, tahun ke empat belas selepas menjadi rasul. Dari situ, baginda bersama Abu Bakar ke Gua Thur. Mereka berdua berada dalam gua tersebut selama tiga malam. Pada hari pertama bulan Rabiul Awwal baginda dan Abu Bakar keluar dari Gua Thur lalu memulakan hijrah ke Yathrib (Madinah). Mereka dipandu oleh Abdullah bin ‘Uraiqit. Pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal, Nabi s.a.w sampai ke Quba. Baginda berada di Quba selama empat hari dan mengasaskan Masjid Quba. Pada 12 Rabiul Awwal, selepas solat Jumaat, barulah baginda memasuki Yathrib yang kemudian dinamakan Madinah. Inilah kesimpulan yang diambil dari pelbagai riwayat serta catatan ahli sejarah dan hadis. (lihat perincian: al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, 163-172. Beirut: Muassasah Fuad).

Dengan ini, berdasarkan maklumat yang dinyatakan tadi, jelas bulan muharram bukanlah bulan baginda Nabi s.a.w berhijrah, ataupun memulakan hijrah. Kesimpulannya; baginda keluar dari rumah pada akhir bulan Safar. Memulakan hijrah pada hari pertama Rabiul Awwal dan sampai ke Madinah pada 12 Rabiul Awwal. Jika ada perbezaan pendapat dalam kalangan sejarahwan, ia berkisar pada hari-hari yang disebutkan itu sahaja. Adapun bulan, mereka bersetuju hijrah Nabi s.a.w pada Rabiul Awwal. Dengan itu, kita sepatutnya tahu bahawa bulan Muharram adalah bulan pertama dalam kiraan kalendar hijrah, bukan bulan hijrah Nabi s.a.w.

 [Rujuk info dari web Dr Maza ],(lihat perincian: al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, 163-172. Beirut: Muassasah Fuad).

Hijrah? Sejauh mana kita cuba untuk memahami maksudnya. Saya sendiri belum memahami. Masih banyak langkah yg tersasar tanpa saya sedar. AllahuAllah. Kenapa begitu? Itu persoalan yang selalu kita soalkan tanpa pernah kita cuba untuk mencari jawapan. Jawapannya adalah kita.
Azam dan perubahan?Kita selalu berazam tapi kita lupa pada perlaksanaan dan perubahan. Saya selalu lupa itu dan diakhir tahun ini saya masih selalu lupa. Wahai diri, Telah berlalu setahun,harap ia bukan sesuatu yang rugi dan bukan bekal yang basi. Lemah sungguh wahai diri. 

1434H akan datang,sesuatu yang belum pasti sepenuhnya kita miliki. Muhasabah lagi. Jika sebelumnya kita bertemu Ramadhan, tahun ini belum lagi kita pasti miliki yang sama. Kita berazam? Ya azam. tapi harapnya kali ini kita juga lakukan perlaksanaan dan perubahan. Pesan ini buat diri sendiri yang selalu alpa dengan kata sendiri! Allahuakbar.

Buat teman-teman, saya dengan rasa rendah diri memohon maaf sekiranya ada terguris rasa, terkasar bahasa, tertegur mana-mana yang tak kena yang buat kalian terkilan rasa. Semoga tahun baharu ini membawa rahmat keampunan dan kebahagian buat kita semua insyaAllah. Kullu 'Aam Wa Antum Bikhair InsyaAllah..

Jom baca doa akhir dan awal tahun!




Semoga Allah merahmati kita semua & memberkati usia kita untuk tahun sebelumnya dan yang akan datang. InshaAllah.

Salam Mahabbah..


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...