Tuesday, 9 June 2015

T U L I S

Assalamualaikum. 

09.06.2015.

Alhamdulillah.
Lama sungguh tak singgah menulis disini.
Seiring usia yang berkurang, kehidupan yang dilalui juga pelbagai, membuatkan ruang-ruang waktu untuk menulis panjang terbatas.
Tapi, masih banyak ruang sosial lain yang tercipta yang boleh kita kongsikan atau jadikan sebagai medium bermuhasabah semula.

Ada sesetengah orang gemar melabelkan mereka yang terlalu aktif berkongsi tentang diri mereka di laman sosial sebagai orang yang ingin meraih simpati dan sebagainya. Saya melihat keadaan itu dari sudut yang berbeza. Jika niat kita jujur, mahu berkongsi kebaikan melalui gambar dan kata-kata, mahu bermuhasabah dan memberi ingat kepada diri kita dan disamping menyampaikan apa jua ilmu yang ada, yang mungkin menaikkan semangat sesiapa sahaja untuk berubah kepada kebaikan ia tetap satu kebaikan yang tinggi. Raikanlah kepelbagaian yang baik selagi ia tidak melanggar batasan yang wajar. 

01.06.2015| Early Childhood Studies Dissertation


Kegagalan.
Tiada insan yang mahu menempuh kegagalan terhadap apa yang telah di usahakan.
Namun, kegagalan adalah hadiah yang cukup istimewa daripada Tuhan.
Dengannya kita:
Mengenal diri dan bermuhasabah.
Mengenal insan-insan yang ikhlas.
Mengenal insan-insan yang ada utk suka bersama.
Mengenal insan-insan yang hampir kita lupakan.
Mengenal erti perjalanan sebuah kehidupan.

Dan yang lebih besar dari itu adalah kita mengenal tentang kebaikan serta nikmat Tuhan.
Bersabarlah,
Jika kita masih jujur mencuba,
ikhlas untuk bangun semula,
Tuhan tak akan pernah sia-siakan usaha.
Kelak sampai masanya,
Mereka akan faham kenapa.
Seperti juga kita sebelumnya.


Jujur, untuk tempoh dua tahun menghabiskan pengajian, saya berhadapan situasi yang sukar. Ia sebenarnya tidak lah mudah untuk menasihati diri bahawa ujian itu indah. Sebagai hamba, adakala kita tercicir jua. Moga Allah ampunkan kita. 

Namun,
Sabarlah. Berusahalah. Berdoalah.
Allah tidak pernah meninggalkan kita sendiri dan Allah jua tidak menguji melebihi apa yang kita mampu.

Alhamdulillah,
Saya sudah selesaikan tugasan penting sebagai seorang pelajar.
Ada beberapa waktu lagi perlu dihabiskan untuk kembali semula menghadapi cabaran diluar.
Ada banyak hutang yang masih tertangguh yang saya masih mahu langsaikan segera.
Percayalah.
Jika kita bercerita masalah dengan manusia, mereka mungkin membantu kita semampunya, atau juga mereka pergi meninggalkan kita sehingga tiba waktu kita bangun semula.
Tapi, jika kita bercerita pada Allah,tentang waktu-waktu yang kita tidak mampu, tentang hajat-hajat kita serta niat yang jujur, Allah sesekali tidak akan membiarkan kita tanpa memberikan kita jalan keluar. 
InshaAllah.

#TeamEarlyChildhoodStudies

Berdamailah dengan sesiapa sahaja,
sekalipun mereka pernah mengherdik usaha kita.
Kelak, mereka akan faham.

Moga Allah mudahkan urusan kita.

Sunday, 2 November 2014

Bilangan Hari-Harimu..

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, 9 Muharam 1436H hari ini. Antara hari-hari yang baik yang pernah di sabdakan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. 9 &10 Muharam adalah hari-hari yang di anjurkan untuk berpuasa disiangnya dan amat besar ganjaran pahalanya. Moga Allah permudahkan langkah serta menjadikan sabar serta redha itu sentiasa teristiqamah dalam jiwa inshaAllah.

Alhamdulillah,
November juga telah masuk hari ke 2 hari ini. Moga-moga peralihan usia baru kelak akan memungkinkan fasa-fasa kematangan yang lebih baik inshaAllah.

Hidup & Kehilangan:
Kita melalui hidup dengan banyaknya kehilangan.
Hilang waktu yang tidak mungkin kembali. Hilang orang-orang yang kita kasihi. Hilang harta yang dicari. Hilang teman yang berada disisi.
Sampai satu ketika nanti kita juga akan hilang dari dunia yang sementara ini.
Bersabarlah dengan kehilangan. Ia hanya didikan istimewa dari Tuhan!
Faghfirlana Ya Allah..

Saya menulis itu pada hari-hari akhir Oktober yang lalu. Ia tidak lebih sekadar memotivasikan diri, memberi ingat tentang hilangnya perkara,benda,kasih dan apa sahaja yang kita pernah,sedang atau akan miliki di dunia hanya bersifat sementara. Ya ia benar hari-hari yang amat berat bagi saya untuk melaluinya dalam tempoh hampir setahun lalu. Berkali-kali jatuh dan pernah ada waktu saya tidak mahu lagi bangun. Namun, mana mungkin Allah memberi didikan tanpa kita kelak akan lulus dalam setiap didikanNya. Hanya waktu yang perlu kita tunggu dan bersama merungkai hikmah disebaliknya.

Kita akan melalui fasa-fasa ini. Cuma caranya berbeza. Saya sendiri tidak terlepas. Ia mungkin ingat-ingatan tentang kelalaian kita, tentang diri kita pada masa lalu dan tentang sikap kita yang sepatutnya tidak begitu. Disudut yang positif, lihatlah ia sebagai proses reformasi diri. Menjadi lebih baik dari apa yang telah kita perlakukan sebelumnya. Nah, hikmahNya Dia memilih kita untuk terus memperbaiki dan berubah! Alhamdulillah.

Waktu-waktu ini juga untuk kita kembali mendefinisikan beberapa istilah yang pernah kita bawa. Kawan antaranya. Kita mungkin hilang ramai teman yang pernah ada tapi percayalah yang berganti itu adakalanya lebih baik untuk kita lihat dan hargai. Namun, jangan sesekali menyalahkan sesiapa. Ia hanya proses untuk kita lebih bersedia dan menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Ya, sungguh perkara-perkara ini mengajar saya melihat sesuatu dengan fikiran yang lebih terbuka. Akhirnya kita hanya punya Dia. 

Maafkan saya atas ringkasan rasa yang saya titipkan. Ia sekadar perkongsian untuk saya sendiri manfaatkan dan ingatkan. Mungkin,untuk tempoh 10 tahun akan datang jika Allah izinkan, saya masih boleh membaca tentang tulisan-tulisan ini dan mengingati dengan baik pesan-pesan ini.

Buang jauh apa jua andaian manusia terhadap kita, mereka terlalu ramai untuk kita tepis dan berhujah dengan damai, luahkan segalanya pada Tuhan, Dia Maha Mendengar, Mengetahui setiap isi jiwa kita dan Dia jua lah kelak yang akan memberi kita jalan keluar. 

Faghfirlana Ya Allah.

Monday, 29 September 2014

Sukar & Senang

Assalamualaikum,

Lama tak menulis disini. Berkali-kali cuba tapi hanya berakhir dengan padam semula. Hakikatnya kita masih mahu menyimpan dan memendam beberapa perkara dan tidak berkongsi semua perkara. Namun, disudut yang lain kita masih perlu meluahkan agar ia terbuang dari benak minda dan fizikal kita. Sesetengah katan "jeritan ketenangan". Catatan ini juga mungkin begitu. 

Hakikat Hidup

Kita bermula tanpa mengenal satu pun tentang hakikat sebenar kehidupan. Ibu ayah mencorakkan dengan baik seawal usia dan kita meniti dewasa dengan liku-liku didikan yang Allah anugerahkan yang terkadang kita leka dan alpa tentang hadirnya. Hakikatnya hidup ini masih satu kembara dan kita hanyalah pengembara yang melalui jalan-jalan yang terkadang betul dan mungkin kebanyakannya salah dan mungkin tersesat. Kata orang; 'Malu bertanya sesat jalan', benar sekali perumpamaan itu.. Kita mungkin berkali-kali melalui jalan yang salah tapi melalui kesalahan itu kita temui sebenar-benar arah. Jangan mengalah dan berdu'alah. InshaAllah.

"..Renungi keadaan hatimu,kiblatkan ia kepada kebenaran. Pelihara kejernihannya, kekalkan ia dalam ketenteraman. Dengan yang demikian itu, engkau tidak akan terpesong, menjauhi dirimu yang hakiki.." 
(Imam Birgivi,1573)

Kesukaran dalam kesenangan

"Pergilah pada hambaku lalu timpakanlah berbagai ujian padanya kerana Aku ingin mendengar rintihannya."
[Hadis Riwayat Thabrani dari Abu Umamah - Hadis Qudsi]

Insan dan ujian bagai aur dengan tebingnya.. Bagai ombak yang bersahabat dengan pantai.. Hidup kita akan terus di uji.. Ujian itu adalah anugerah terindah yang Allah anugerahkan pada kita. Melalui masa-masa sukar ini mendidik kita tentang banyak perkara. Mendidik kita untuk kembali bermuhasabah tentang maaf dan keampuanan. Tentang kembalinya jiwa mencari keampunan Rabb nya. Berkali-kali kita diuji tapi percayalah sebanyak itulah selagi mana kita sabar, Allah akan memberi hikmah yang banyak selepasnya. Bagai pelangi yang muncul selepas hujan, bagai mentari yang menyinar kembali dan bagai bulan yang muncul dibalik awan dan menerangi gelap malam.

Namun, disudut yang berbeza, jiwa insan tetap lemah menghadapi setiap ujian. Berdu'alah!

Kesimpulannya?

Melalui ini teramat sukar. Saya menulis nasihat-nasihat itu mendahului diri saya sendiri. Melalui saat ini amat sukar. Saya bagai hilang arah dan buntu mencari jalan keluarnya. Terkadang saya mencari dan mengakui " Duhai Rabb, kenapa begini dan kenapa begitu?" Allahurabbi! Ampunkan diri yang serba lemah ini. Tiada daya upaya melainkan segalanya milikMu Ya Rabb.

Allah menganugerahkan kita nikmat yang banyak sekali, tidak terkira dan tertulis dek tinta, dan demikian juga bila Allah berkehendakkannya semula. Andai ia diambil semula, sudah tentu Allah sedang merencanakan sesuatu yang lebih baik untuk kita. Allahu.


'Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar..'
Al-baqarah:155

Penawarnya kembali pada Allah. Redha, Sabar, Usaha dan Du'a. Disini sudut lain juga teruji. Kita mungkin hilang percaya daripada teman-teman yang ada dan kita juga mungkin ditinggal bersendirian tanpa ada khabar ditanya. Tapi percayalah, Allah gantikan dengan mereka-mereka yang lebih baik kerana Allah tahu kita mampu melaluinya. 

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".
(Al-Baqarah: 286)

Di kesempatan ini, saya mohon maaf kepada semua yang mungkin terasa dan sebagainya. Mohon du'akan segala kebaikan dan dipermudahkan segala urusan kita semua inshaAllah. 

29.09.2014 | 10:41
Gombak

Thursday, 9 January 2014

Ingat-ingatan

Assalamualaikum,

2014, Alhamdulillah. Selamat tahun baharu masihi. Belum terlewat rasanya untuk ucapan tersebut. Moga hari-hari berlalu indah. Berdu'a sentiasa moga dalam susah atau senang, suka atau sedih kita sentiasa redha & berterima kasih atas apa jua yang Allah anugerahkan. Ia adalah didikan kehidupan kita didunia.



Alhamdulillah, ini catatan pertama saya untuk tahun 2014. Agak jarang saya berkongsi sepanjang tahun 2013 yang lalu. Saya selalu terfikir, apakah tulisan-tulisan saya ini tulisan yang bermanfaat. Walau tidak pada teman-teman yang singgah,adakah ia bermanfaat pada diri saya sendiri. Beberapa ketika yang lapang,saya selalu baca semula apa yang saya tulis, tersenyum sendiri lantas hati mula menafsir, 'argh itulah masa-masa belum dewasa mungkin".

Memikirkan tentang silap-silap kita yang lampau,tentang kesedaran yang Allah hadirkan, betapa Allah sesekali tidak pernah meninggalkan kita sendirian. Allah temukan kita jalan, Allah hadirkan penyelesaian tentang perkara-perkara yang dulu kita tanya kenapa begini dan kenapa tidak begitu atau kalau lah dan lain-lain persoalan kita. 



Dalam perjalanan kita juga, kita akan kehilangan insan-insan yang ada bersama kita. Mereka mungkin kembali ke sisi Rabb Yang Esa atau mereka meninggalkan kita untuk meneruskan perjalanan mereka didunia. Ia juga anugerah yang kita jarang sedar atau mungkin lambat sedar. Akhirnya lepas beberapa ketika, kita akan memahami betapa Allah mahu mendidik kita, memberi kita yang terbaik. Allahuallah. Berbaik sangka sentiasa dengan Allah,kerana Allah sesekali tidak pernah jauh dengan kita sedang kita yang selalu menjauh. Astaghfirullah.

Oh kenapa saya catatkan begitu, ia hanya untuk ingatan-ingatan saya yang selalu lupa. Jam sudah 2.30pagi, saya baru siapkan draft pertama untuk kelas esok. Oh ya,saya bergelar pelajar semula! Meneruskan cita-cita yang tertangguh lama & atas sebab ini juga lah huraian panjang di atas. Maaf. :)



Moga-moga Allah izinkan kita memberikan sesuatu yang bermanfaat. Walaupun tidak untuk sesiapa tapi ia bermanfaat untuk mendidik jiwa kita sendiri. Sekali lagi, maaf. 

Rasulullah S.A.W bersabda :

“Ada apa aku dan dunia ini! Tiadalah dunia dan aku ini melainkan seperti seorang pengembara yang berlindung dari panas di bawah sepohon pokok, kemudian pergi meninggalkannya”. (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).


Sampai jumpa lagi! InshaAllah.

| Shah Alam | 2:33pagi | Amir Rayyan


Tuesday, 24 December 2013

Cerita 2013

Assalamualaikum,

Alhamdulillah thumma alhamdulillah... meniti hari-hari terakhir 2013.Dalam sedar atau tidak kita sebenarnya sedang menghampiri hari-hari akhir kita sebagai seorang pengembara didunia. Allahuakbar! Moga Allah sentiasa redha dengan kita dan hari-hari yang berlalu adalah didikan terbaik buat bekalan kita kelak. InshaAllah.

2013, agak kurang catatan saya singgah di laman ini, dan catatan ini juga mungkin ringkas sahaja. Menyorot kembali perjalanan sepanjang 2013, ia adalah tahun yang penuh dengan didikan istimewa. Alhamdulillah. Ceritanya pelbagai dan menjadikan kita mungkin lebih faham tentang apa itu kedewasaan & kehidupan. Hidup ini bukanlah untuk diraikan dengan gelak tawa sentiasa tapi tangisan itu lah sebenarnya kegembiraan yang perlu ada disetiap jiwa. Kita selalu inginkan segala kesenangan terhidang didepan mata tapi kita lupa untuk mensyukuri nikmat yang telah Allah ganjarkan setiap detik masa. Astaghfirullah, ingatan ini mendahului diri saya sendiri.

Saya ringkaskan catatan, sekadar berkongsi beberapa kenangan sepanjang 2013 & biarlah gambar isi ceritanya. :)



1. Saya mulakan 01.01.13 dengan satu rehat yang singkat di Grand Lexis PD.



2. #gather1102 adalah aktiviti tahunan yang masuk tahun ke 5. Alhamdulillah, moga Allah rahmati ukhuwah ini inshaAllah.



3. Kembara Haramain, 30Mac - 9 April . Ia satu perjalanan yang terindah dalam hidup. Allahuallah..Rindu sungguh! :(





4. Pilihanraya Umum ke 13, 05.05.13, ini adalah PRU pertama saya dan Alhamdulillah,moga Allah redha dengan pilihan yang dibuat. InshaAllah..



5. 29 Jun - 3 Julai, Bali Indonesia. Ini adalah percutian yang tak dirancang. Alhamdulillah, ia pengalaman yang indah.



6. September: Kembali meneruskan cita-cita yang tertangguh. ( Tapi atas sebab tertentu,saya hanya memulakan semester pada December,beberapa minggu sudah.)



7. 22 - 30 Oktober 2013, Kembara #CintaKonstantinopel .






8. November: Bulan kelahiran saya dan saya melaluinya dengan fasa peningkatan usia yang cukup mencabar. Maaf, tiada gambar atau sebarang sambutan untuk hari serta bulan ini. Ia indah! Didikan kedewasan yang ajar saya kenal dan belajar banyak perkara. Alhamdulillah.

9.December: Masuk kelas! Dan ini kenangan belajar bersama dua orang guru. Keduanya telah selamat pulang ke UK. :)




10. Balik kampung! Alhamdulillah akhirnya,kita hanya perlu kembali ke tempat kita bermula dan disitu kita kenal jati diri kita. Saya hanya seorang anak kampung dan saya cukup bangga! Alhamdulillah.



10 sorotan cerita indah sepanjang 2013. Moga Allah redha untuk perjalanan yang telah dilalui dan akan dilalui. Moga dipermudahkan segala urusan & diberi keampunan buat kita semua. InshaAllah.

Salam Mahabbah




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...